Profail Jajahan

1.0 LATAR BELAKANG JAJAHAN BACHOK

Pembukaan rasmi Jajahan Bachok telah disempurnakan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra Ibni Al-Marhum Sultan Yahya Petra, sultan dan Yang Di Pertua bagi negeri Kelantan Darul Naim pada hari Ahad, 22 Muharam 1409 bersamaan 4 September 1988.

 

1.1 LOKASI

1. Jajahan Bachok terletak di Timur Laut Negeri Kelantan bersempadan di sebelah Timurnya Laut China Selatan, di sebelah Utara dan di sebelah Baratnya bersempadan dengan Jajahan Kota Bharu dan dengan Jajahan Pasir Puteh di sebelah Selatan.

2. Luas Jajahan Bachok adalah lebih kurang 264.64 Km Persegi. Ia mempunyai pinggir pantai sepanjang 32 Km. Semua tanah di Jajahan ini merupakan Kawasan Simpanan Melayu. Keluasan mengikut daerah adalah sebagaimana Jadual 1.

 

Jadual 1: Keluasan Daerah dan Bilangan Mukim

 

1.2 Pentadbiran

1. Jajahan Bachok mengandungi 8 Daerah dan 56 Mukim Penghulu sebagaimana Jadual 1 di atas. Manakala Mulim Iman pula ialah sebanyak 47 Mukim. Pentadbiran Majlis Daerah Bachok meliputi kawasan seluas 138.96 KM Persegi yang merangkumi 5 buah daerah iaitu Daerah Perupok, Tanjong Pauh,Melawi, Gunong dan Mahligai.

2. Pentadbiran Majlis Daerah Bachok pada masa ini meliputi kawasan seluas 138.96 km persegi yang merangkumi 8 buah daerah iaitu Daerah Bekelam, Gunong, Mahligai, Perupok, Melawi, Telong, Tanjung Pauh, Tawang.

3. Bagi persempadanan kawasan pilihanraya Jajahan Bachok mengandungi satu kawasan Parlimen iaitu Bachok serta 3 kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Tawang, Perupok dan Jelawat bagi yang penuh dan sebahagian kawasan Dun Panchor.

1.3 Penggunaan Tanah

1. Kegunaan Tanah di Jajahan Bachok dapat dibahagikan kepada 5 jenis kegunaan utama iaitu pertanian yang melibatkan tanah seluas 20, 330.6 hektar atau 76.8% daripada jumlah keluasan tanah di Jajahan Bachok, perumahan 242.6 hektar (0.9%), perusahaan dan perkilangan seluas 23.4 hektar (0.1%), hutan gelam dan tanah pinggir 4,375 hektar (16.5%) Tanah Kerajaan seluas 4, 375.66 hektar (16.5%) dan Tanah Rezab seluas 1, 490.00 (5%) hektar sebagaimana Jadual 2.

Jadual 2: Kegunaan Tanah Di Jajahan Bachok

2. Penggunaan tanah untuk pertanian merupakan jenis gunatanah yang terbesar di Jajahan Bachok. Ini selari dengan aktiviti ekonomi yang utamanya iaitu pertanian. Jenis tanaman utama ialah pada seluas 6,221 hektar, tembakau seluas 2,910 hektar, kelapa seluas 2,783 hektar. Jajahan Bachok telah diberi penekanan yang lebih dalam pengeluaran sayur berbanding dengan Jajahan yang lain oleh Jabatan Pertanian. Keluasan kawasan yang terlibat ialah seluas 777 hektar pada tahun 1995. Tumpuan pembangunan sayur di Jajahan Bachok antara lain berkait dengan corak pembangunan tanah, iaitu sebagai tanaman selingan kepada tanaman tembakau dan campuran dengan tanaman kelapa.

1.4 Penduduk

1. Jumlah penduduk Jajahan Bachok pada tahun 2007 ialah seramai 131,796 orang, merupakan 8.44 peratus daripada jumlah penduduk Negeri Kelantan. Dari jumlah itu seramai 66,275 orang (50.24%) terdiri daripada lelaki dan 65,442 orang adalah perempuan. Penduduk kawasan Majlis Daerah Bachok merupakan 83.91% daripada jumlah penduduk Jajahan Bachok. Agihan penduduk mengikut Daerah pula menunjukkan Daerah Tawang mempunyai penduduk yang tertinggi (28,209 orang), diikuti oleh Daerah Gunong (24,252) dan Daerah Perupok (19,366 orang). Jadual 3 menunjukkan bilangan penduduk Jajahan Bachok mengikut Daerah dan peratusnya bagi tahun 2007.

Jadual 3: Bilangan Pendudukan Jajahan Bachok Mengikut Daerah 2007

2. Purata saiz isirumah Jajahan Bachok pada tahun 2007 ialah 5.2 orang iaitu lebih tinggi berbanding dengan purata saiz isirumah dalam kawasan Majlis Daerah Bachok sebanyak 5.1 orang, manakala kawasan luar Majlis Daerah Bachok ialah sebanyak 5.4 orang.

3. Sektor pertanian, perikanan dan penternakan merupakan penyumbang utama pekerjaan penduduk Jajahan Bachok di mana ia menyumbang sebanyak 63 peratus dari tenaga kerja di Jajahan Bachok pada tahun 2007. Sektor perkhidmatan Kerajaan merupakan penyumbang kedua terbesar dan diikuti dengan sektor perdagangan, runcit, hotel dan restoran. Agihan pekerjaan mengikut sektor pada tahun 2007 adalah seperti Jadual 4.

Jadual 4: Agihan Pekerjaan Mengikut Sektor Di Jajahan Bachok Tahun 2005

1.5 Bentuk Muka Bumi

Bentuk muka bumi di Jajahan Bachok adalah mendatar dan rendah. Ini menyebabkan kawasan-kawasan tertentu mudah dinaiki air apabila berlakunya hujan terutamanya pada musim tengkujuh. Kesannya hasil tanaman penduduk banyak mengalami kerosakan. Walau bagaimanapun, keadaannya telah bertambah baik setelah siapnya sebahagian besar sistem pengairan dan saliran serta Projek Tebatan Banjir yang dilaksanakan oleh Projek Kemasin Semerak.

1.6 Jenis Tanah

Jenis tanah yang terdapat di Jajahan Bachok dapat dibahagikan kepada 3 kumpulan yang besar. Pertama, tanah jenis berpasir (Beris) yang terdapat di sepanjang pantai. Ia tidak subur untuk dimajukan dengan perusahaan pertanian. Kedua, tanah gambut yang terdapat di kawasan gelam. Tanah jenis ini juga merupakan tanah yang bermasalah di mana kadar serapan airnya adalah terlalu tinggi. Tanah jenis ketiga ialah tanah liat, yang sesuai untuk dimajukan dusun dan padi. Jika ia dibandingkan di kawasan lain, maka tanah di sini tergolong dalam kategori kedua dari segi kesuburannya.

Ketidak suburan tanah secara semulajadi, menyebabkan kos pemulihan dan pengeluaran pertanian di kawasan ini lebih tinggi berbanding dengan kawasan lain yang mengeluarkan keluaran yang sama. Ini mendorong kepada berlakunya tanah terbiar.

2.0 JENIS KEGUNAAN TANAH

Kategori Tanah keseluruhan keluasan tanah Jajahan Bachok ianya dipecahkan kepada 3 kategori iaitu:

  1. Tanah Milik        -               22,582.00 hektar
  2. Tanah Kerajaan  -                 2,391.00 hektar
  3. Tanah Rezab      -                1,490.00 hektar

                    Jumlah    -               26,463.00 hektar

Tanah milik seluas 20,598.3 hektar tersebut melibatkan jumlah pegangan hakmilik ialah sebanyak 5,866.7 hektar.

Jajahan Bachok mengandungi 8 daerah dan 33 Mukim sebagaimana di Lampiran ‘B’.

 

3.0 KEMUDAHAN INFRASTRUKTUR

Kemudahan insfrastruktur di Jajahan ini terbahagi kepada 3 kategori seperti berikut:

3.1 Sistem Pengairan Dan Saliran

1. Penyediaan system pengairan dan saliran adalah bagi membolehkan:

  1. Tanah-tanah yang tidak sesuai dan tidak ekonomik dapat dimajukan ditebusguna untuk tujuan pertanian dan memperolehi pulangan yang menguntungkan.
  2. Limpahan air dapat dialirkan sewajarnya bagi mengelakkan berlakunya banjir.

2. Dua agensi utama yang merealisasikan program tersebut ialah Projek Kemasin Semerak dan Jabatan Pengairan Dan Saliran.

  1. Program Projek Kemasin Semerak

Projek Kemasin Semerak telah membelanjakan lebih kurang RM50 juta untuk menyediakan system pengairan dan saliran di Jajahan Bachok ini. Projek-projek yang telah dilaksanakan ialah:

  1. Pembinaan Stesen Pam Utama
  2. Pembinaan Terusan Raya/Utama
  3. Pembinaan Stesen Pam Pengairan
  4. Pembinaan Skim Pengairan Jelawat Rusa
  5. Pembinaan Skim Pengairan Kemasin Hilir
  6. Pembinaan Skim Saliran Utama Gelam
  7. Pembinaan Skim Saliran Burong Mandi
  8. Skim Saliran Utama Pulau Gajah

 

  1. Program Jabatan Pengairan Dan Saliran

Jabatan ini bertanggungjawab merancang dan melaksanakan semua aktiviti-aktiviti operasi, penyenggaraan dan pembangunan yang melibatkan rancangan pengairan dan saliran di Jajahan Bachok selain dari kawasan projek KADA dan Projek Kemasin Semerak termasuk kawasan tanaman tembakau. Sehingga kira sejumlah 2,301 hektar kawasan pertanian telah dan mula dibangunkan oleh Jabatan ini sebagaimana berikut:

 

i. Rancangan pengairan dan saliran untuk tanaman padi.

       ii. Rancangan saliran untuk tanaman tembakau.

Setakat ini Jabatan ini telah membina system saliran tanaman tembakau jangka pendek sepanjang 48.0 km seperti berikut:

Dengan terbinanya system saliran tersebut, beberapa faedah secara tidak langsung telah dikenalpasti sebagaimana berikut:

  1. Banjir kilat dapat dicegah.
  2. Kawasan tanah terbiar seperti paya dapat dimajukan.
  3. Nilai hartanah telah meningkat.

3.2 Tebatan Banjir

1. Program Projek Kemasin Semerak

Banjir merupakan salah satu dari isu yang menghalang kepada pembangunan di Jajahan ini khususnya dalam pembangunan pertanian. Bagi mengurangkan kesan tersebut Projek Kemasin Semerak telah membina beberapa Projek Tebatan Banjir iaitu:

  1. Pembinaan pemecah ombak di Sg. Pengkalan Datu, Sungai Kemasin dan Sungai Gali.
  2. Kerja-kerja membaiki dan mendalamkan Sg. Pengkalan Datu, Sg. Kemasin dan Terusan Mentuan.
  3. Pembinaan lencongan Machang bagi mengalirkan air di hulu Sg. Kemasin ke Sg. Pengkalan Datu.
  4. Pembinaan pintu kawalan pasang surut Sg. Kemasin di Pengkalan Petah.
  5. Pembinaan lencongan gunong Sg. Gunong dan Sg. Semerak.

Pembinaan projek-projek tebatan banjir tersebut di atas telah dapat mengurangkan ancaman banjir di Jajahan ini sejak tahun 1991.

3.3 Perhubungan

Jajahan ini mempunyai rangkaian jalanray terbahagi kepada 3 kategori iaitu:

1. Jalan Persekutuan

Jalan Persekutuan ialah laluan Persekutuan 3 iaitu merupakan jalan utam di Pantai Timor Semenanjung Malaysia yang menghubungkan negeri-negeri di Pantai Timor memasuki Jajahan Bachok melalui Pak Badol dari Jajahan Pasir Puteh dan keluar melalui Pekan Melor ke Jajahan Kota Bharu. Panjang jalan berkenaan ialah 2.99 km.

 2.Jalan Negeri

Jalan Negeri ialah laluan Negeri D5, D8, D9, D11, D13 dan D14. Laluan-laluan ini menghubungkan Jajahan Bachok dengan lain-lain Jajahan. Panjangnya di dalam Jajahan Bachok ialah 130.85 km. Sementara itu Jabatan Kerja Raya Jajahan Bachok telah membelanjakan sejumlah RM505,000.00 untuk memperelokkan jalan-jalan dalam Jajahan Bachok. Manakala projek dalam pelaksanaan oleh pihak JKR ialah Jalan Kemudi/Kg. Balai dan juga Jalan Kubang Kerian/Bachok. Selain daripada itu, program yang sedang dirancang ialah kerja-kerja melebar Jalan Perupok/Pengkalan Petah, Tawang/Kedai Lalat.

3. Jalan Pihak Berkuasa Tempatan Dan Jalan Kampung

Ianya merupakan jalan-jalan di kawasan Perumahan, Pust Pertumbuhan dan jalan-jalan yang menghubungkan antara suatu tempat dengan tempat lain yang tidak dihubungi oleh Jalan Persekutuan atau Jalan Negeri. Jalan-jalan ini dianggarkan sepanjang 470.36 km dan sentiasa bertambah apabila berlaku pembangunan pada satu-satu tempat. Sehingga September 2007 tahun Pejabat Tanah Dan Jajahan Bachok telah diluluskan peruntukan sebanyak RM760,379.37 untuk membaiki/membina jalan, membina jambatan/jejulor di Jajahan ini.

4.0 PEMBANGUNAN PERTANIAN, PERIKANAN, TERNAKAN, INDUSTRI DESA DAN PELANCONGAN

4.1 Pembangunan Pertanian

1. Tanaman Padi

Tanaman padi Jajahan Bachok meliputi kawasan seluas lebih kurang 7,000 hektar. Ia dapat dibahagikan kepada 2 kawasan iaitu kawasan pengairan di bawah kelolaan KADA dan kawasan luar pengairan di bawah seliaan Projek Kemasin Semerak (PKS), JabatanPertanian dan Jabatan Pengairan Dan Saliran. Hasil pengeluaran padi Jajahan Bachok ialah antara 3.8 hingga 4.0 tan/hektar.

2. Tanaman Tembakau

  1. Jajahan Bachok adalah merupakan jelapang Tembakau Malaysia di mana pada tahun 2004 seluas 3,400 hektar telah diusahakan dengan tanaman tembakau. Kumpulan sasar yang terlibat adalah terdiri daripada Penanam Pengawet Individu (PPI) seramai 4,609 keluarga, manakala penglibatan pekerja stesen berjumlah seramai 2,974 orang.
  2. Pada tahun 2004, kawasan Bachok telah diperuntukan kuota sebanyak 3,573,600 juta kilogram iaitu (45%) daripada peruntukan kuota Negeri Kelantan (8,037,900 juta kg) dan (27%) kuota Malaysia iaitu 13,250,000 juta kilogram. Daripada jumlah kuota tersebut Kawasan Bachok telah berupaya mengeluarkan sebanyak 33,502,105 juta kilogram. Daun Hijau yang mana sebahagiannya telah dihasilkan oleh PPI iaitu sebanyak 16,100,185 juta kilogram dengan nilaian dianggarkan sebanyak RM12,888 juta, manakala penanam-penanam pula menghasilkan sebanyak 17,391,920 kilogram dengan nilaian sebanyak RM13.9 juta dengan harga purata jualan Daun Hijau RM0.80 sekilogram.
  3. Daripada jumlah pengeluaran yang dihasilkan iaitu sebanyak 4,237,323 juta kilogram bagi Kawasan Bachok ianya merupakan pencapaian (47%) daripada pengeluaran bagi Negeri Kelantan yang berjumlah sebanyak 9,006 juta kilogram dan (32%) bagi Malaysia dengan jumlah pengeluaran sebanyak 12,857 juta kilogram. Daripada jumlah yang dihasilkan bagi Kawasan Bachok, nilaian pendapatan yang diperolehi oleh pengusaha-pengusaha tembakau iaitu sebanyak RM61,186 juta dengan pencapaian harga purata jualan Daun Kering RM14.44 sekilogram berbanding dengan purata bagi Negeri Kelantan iaitu RM13.91 sekilogram dan Malaysia RM13.89 sekilogram.
  4. Dari segi guna tenaga, ia melibatkan seramai 7,500 keluarga (63% daripada jumlah keluarga tani Bachok) yang menanam tembakau. Di samping itu, seramai 4,400 orang penduduk terlibat sebagai pekerja di stesen-stesen pengawet tembakau di Jajahan Bachok.
  5. Mengikut kajian Lembaga Tembakau Negara, produktiviti dan mutu pengeluaran tanaman tembakau di Jajahan Bachok adalah mengatasi tempat-tempat lain di mana hasil pengeluaran ialah 1,255 kg/hektar, manakala bagi Negeri Kelantan 1,125 dan Kebangsaan 1,108 kg/hektar. Harga purata Daun Kering ialah RM13.21/kg. Ini menunjukkan penduduk Jajahan Bachok mempunyai kemahiran yang tinggi dalam perusahaan tembakau.

3. Tanaman Makanan Lain

  1. Bagi program tanaman selain daripada padi dan tembakau, Jabatan yang terlibat khususnya Jabatan Pertanian melaksanakan Program Tanaman Secara Berkelompok. Perlaksanaan secara ini memudahkan pihak Jabatan member latihan dan khidmat nasihat kepada petani, menyalurkan bantuan/kemudahan tertentu serta perancangan pemasaran.
  2. Setakak ini sejumlah 75 Projek Berkelompok telah diwujudkan melibatkan keluasan fizikal 1,797.3 hektar dengan bilangan petani/ahli kelompok seramai 1,893 orang dan potensi pengeluaran 27,678,800 kg bernilai RM20,424,045.00. Pencapaian pengeluaran bagi tahun 2005 sehingga Jun ialah sebanyak 10,124,795 kg bernilai RM8,020,538.00

4. Pembangunan Taman Teknologi/Taman Kekal Pengeluaran Makanan

  1. Stesen Pertanian Bris Telong yang sekarang ini dikenali sebagai Taman Kekal Pengeluaran Makanan Telong (TKPM Telong) seluas 40 hektar sebahagiannya telah dibangunkan dengan infrastruktur/kemudahan asas lading seperti kolam takongan air, jalan ladang, system pengairan dan saliran, struktur pelindung hujan (SPH) dan program meningkatkan mutu tanah dengan jumlah perbelanjaan RM575,000.00 termasuk peruntukan Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS).
  2. TKPM Telong berpotensi mengeluarkan hasil sebanyak 600,000kg setahun yang bernilai RM333,200.00. Sekarangini terdapat 4 orang belia usahawan mengusahakan tanaman sayur dan buah-buahan jangka pendek melibatkan keluasan fizikal 16.3 hektar. Penanaman sayur di ladang akan dijalankan secara lebih meluas. Sebuah syarikat usahawan swasta telah diberi kelulusan mengusahakan tanaman pitaya (dragon fruit) seluas 8.0 hektar dan akan memulakan projek tidak lama lagi iaitu seluas 1.6 hektar sebagai permulaan. Pencapaian pengeluaran tahun 2005 sehingga Jun ialah sebanyak 64,235 kg, bernilai RM53,173.00.

4.2 Pembangunan Perikanan

1. Pembangunan Perikanan Jajahan Bachok melibatkan Perikanan Laut dan Perikanan Air Tawar (Ternak Air). Pembinaan pemecah ombak di bawah Program Tebatan Banjir oleh Projek Kemasin Semerak (PKS) secara tidak langsung telah member kemudahan kepada nelayan-nelayan Jajahan Bachok, Pengkalan Petah, (muara Sg. Kemasin) dan Muara Sg. Gali telah menjadi tempat pendaratan ikan. Jabatan Perikanan telah pun menjalan aktivitinya di Komplek Perikanan yang dibina pada tahun 1998 dengan perbelanjaan RM2.88 juta.

2. Bagi Program Ternak Air pula, Jabatan Perikanan serta Projek Kemasin Semerak (PKS) dan KADA telah menyediakan kemudahan asas seperti sangkar dan jarring untuk melaksanakan Program Ternak Air serta bantuan benih ikan kepada penternak ikan air tawar di Jajahan Bachok. Tumpuan Program Ternak Air ialah kawasan taliair KADA dan kawasan sekitar. Di kawasan ini dipilih kerana senang untuk mengadakan kawalan air dan tidak melibatkan penggunaan tanah.

3. Program yang telah dikenalpasti oleh Jabatan Perikanan dan KADA ialah seperti berikut:

  1. Ternakan ikan dalam sangkar di Mahligai melibatkan peserta seramai 8 orang dengan kos sebanyak RM72,000.00.
  2. Ternakan ikan Keli dalam sawah di Kg. Pauh Butut dan Kg. Belukar Muda melibatkan 6 peserta dengan peruntukan sebanyak RM12,000.00
  3. Projek Pen. Culture melibatkan 8 orang peserta dengan kos sebanyak RM47,000.00 dilaksanakan di Kg. Pauh Butut dan Mahligai.
  4. Pusat pembenihan ikan Air Tawar di Mahligai yang melibatkan kos RM25,000.00
  5. Program Ternakan Ikan Dalam Taliair KADA di Jelawat, Pauh Butut dan Mahligai melibatkan kawasan sepanjang 6 km dengan peserta seramai 89 orang dan lepasan ikan sebanyak 74,000 ekor.

4.3 Pembangunan Industri Desa/Kecil

1. Industri Desa di Jajahan Bachok dapat dibahagikan kepada 2 kategori iaitu:

  1. Industri memproses yang dibuat seliaan oleh Jabatan.
  2. Industri Kampung yang tidak dibuat seliaan secara khusus oleh Jabatan.

2. Industri memproses yang dibuat seliaan oleh Jabatan adalah melibatkan kos yang tinggi dan memerlukan kepada satu organisasi untuk membuat penyelarasan. Jabatan Pertanian telah mewujudkan 2 aktiviti untuk Jajahan Bachok iaitu:

  1. Industri memproses Roselle di Kg. Sg. Dua yang melibatkan kos sebanyak RM150,000.00
  2. Kilang memproses sabut kelapa.

3. Industri ini yang tidak dibuat penyelarasan seliaan iaitu di mana mereka ini diberi bantuan peralatan untuk mengusahakannya. Sehingga kini Pejabat Tanah Dan Jajahan Bachok telah diluluskan peruntukan sebanyak RM27,900.00 untuk member bantuan kepada 18 orang pengusaha.

4.4 Pembangunan Pelancongan

Masyarakat di Jajahan Bachok tidak ketinggalan juga dalam menjalankan ekonomi Jajahannya dengan menyediakan 17 buah hotel dan chalet di sepanjang Pantai Perupok, Melawi dan Telong untuk memajukan sector pelancongan.

5.0 PENDIDIKAN, KESIHATAN DAN PEMBANGUNAN SOSIAL

1. Pendidikan

Pendidikan sangat penting dalam pembangunan minda rakyat. Justeru itu institusi pendidikan telah diwujudkan untuk memenuhi keperluan penduduk dan kedudukannya bagi Jajahan ini adalah seperti berikut:

  1. Bilangan Sekolah Rendah                             -                33 buah
  2. Bilangan Bilik Darjah Rendah                       -              540 buah
  3. Bilangan Guru Sekolah Rendah                  -              912 orang
  4. Bilangan Sekolah Menengah                       -                11 buah
  5. Bilangan Bilik Darjah Menengah                                -              350 bilik
  6. Bilangan Guru Sekolah Menengah           -              677 orang
  7. Bilangan Sekolah Asrama Harian/Desa
    1. Sekolah Rendah                                               -                  1 buah
    2. Sekolah Menengah                         -                  6 buah

 

Pendidikan Aliran Agama dan Institusi Pengajian Pondok

Masyarakat di Jajahan ini juga tidak ketinggalan member perhatian serta tumpuan terhadap pendidikan aliran agama yang dikendalikan oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK) di mana terdapat sebanyak 6 buah Sekolah Menengah Ugama Arab dan juga sebuah Pusat Pengajian Pondok di Jajahan ini seperti berikut:

2. Kesihatan

Pejabat Kesihatan Daerah Bachok telah dapat member perkhidmatan kesihatan kepada penduduk Jajahan ini melalui perkhidmatan Klinik Kesihatan Luar Bandar dan Klinik Desa. Jumlah klinik adalah seperti berikut:

  1. Klinik Kesihatan Luar Bandar      -                6 buah
  2. Klinik Desa                                -              22 buah

Oleh kerana Hospital Daerah belum lagi ada di Jajahan ini, maka bagi kes-kes serius, penduduk di sini terpaksa dirujuk ke Hospital Kota Bharu dan juga Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian. Walau bagaimanapun, pihak Pejabat Kesihatan Daerah di sini telah mencadangkan supaya sebuah Hospital Daerah diadakan di sini dalam Rancangan Malaysia Ke-9.

Selain daripada itu, terdapat juga kemudahan perkhidmatan kesihatan melalui klinik swasta di mana terdapat sebanyak 9 buah klinik swasta di Jajahan ini.

Projek Kesihatan Dalam Pelaksanaan ialah:

  1. Pembaikian kemudahan X-Ray di Klinik Kesihatan Bachok
  2. Pembaikian Klinik Desa Rekang, Melawi dan Pauh Lima
  3. Pembaikian Blok Kesihatan Ibu dan Kanak-Kanak di Klinik Kesihatan Gunong

Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekeliling

Tandas Curah – Pembinaannya dijalankan secara pakej melalui tender Jabatan RM317.00 sebuah tandas yang lengkap. Sehingga akhir bulan September 1998, telah mencapai liputan 100% pembinaan tandas di seluruh Jajahan ini.

Bekalan Air Masyarakat – Liputan bekalan air selamat adalah masih rendah. Jadual di bawah adalah liputan terkumpul bekalan air bagi Jajaha ini sehingga bulan September 1998:

  1. Bekalan air Jabatan Kesihatan    -                3,109 buah rumah (15.65%)
  2. Bekalan air KWSB                             -                6,670 buah rumah (33.58%)
  3. Bekalan air tak terkawal                                -              10,083 buah rumah (50.76%)

Bekalan air bersih di Jajahan Bachok menghadapi masalah-masalah yang tersendiri sebagaimana berikut:

  1. Bekalan air bersih Kementerian Kesihatan
  • Air tidak dirawat
  • Air mengandungi kandungan besi yang tinggi
  • Air berminyak dan berbau kerana PH yang rendah (masam kelat)
  1. Bekalan Kelantan Water Sdn. Bhd. (KWSB)
  • Bekalan air tidak mencukupi
  • Tekanan air yang rendah dan sering terputus bekalan
  • Kualiti bekalan juga tidak mencapai standard (piawaian) yang ditetapkan
  • Tiadanya penyambungan baru sedangkan permintaan sentiasa bertambah

5.3 Pembangunan Masyarakat

1. Bantuan oleh Pejabat Kebajikan Masyarakat

Sejumlah RM1,660,110.00 telah dibelanjakan sehingga bulan Disember 2004 oleh Pejabat Kebajikan Masyarakat Jajahan Bachok melibatkan 1,063 penerima pelbagai bantuan sebagaimana senarai di bawah ini:

  1. Peruntukan Negeri

    B. Peruntukan Persekutuan

2. Program Bina Insan

Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM 249,500.00 bagi tempoh tahun 1999 sehingga 2004 bagi melaksanakan Program Bina Insan di Jajahan ini.

3. Program Desa Taqwa

Jumlah peruntukan daripada tahun 1992 hingga 2003 bagi Program Desa Taqwa di Jajahan ini adalah sebagaimana di Jadual berikut:

4. Tabung Serambi Mekah

Jenis-jenis bantuan/projek yang telah diagihkan bagi tempoh 01/01/1992 sehingga 31/12/2004 di bawah Tabung Serambi Mekah di Jajahan Bachok adalah seperti berikut:

5.4 Program Pembelaan Rakyat Termiskin/PPRT

Di bawah Program Pembelaan Rakyat Miskin/PPRT berbagai bantuan telah dikeluarkan kepada penduduk pada tahun 1999 sehingga 2004. Program-program berkenaan ialah sebagaimana berikut:

1. Bantuan membaiki               -                  RM266,600.00

2. Bantuan Bekalan Air            -                  RM169,900.00

6.0 PROGRAM SATU PRODUK SATU JAJAHAN

1. Program Satu Produk Satu Jajahan adalah saranan YB. Dato Setiausaha Kerajaan supaya mengekploitasikan sumber-sumber yang terdapat di Jajahan, di mana berpotensi untuk berkembang dan maju secara terancang. Ternakan lembu kacukan pedaging telah dipilih sebagai produk Jajahan Bachok. Pada tahun 2004 perkembangan pengeluaran lembu kacukan pedagin telah mengalami perubahan, di mana Status Pengeluaran Ternakan Lembu yang dinilai daripada tahun 1996 hingga tahun 2003/04 sebagaimana Carta di Lampiran ‘C’.

2. Pemilihan produk pengeluaran lembu kacukan pedagin dibuat berdasarkan kepada keadaan berikut:

Penggunaan tanah untuk tanaman kekal di Jajahan Bachok sebahagian besarnya ditanam dengan tanaman kelapa. Ternakan lembu pedaging dapat diintegrasikan dengan tanaman kelapa, di mana hasil tanaman kelapa meningkat hamper dua kali ganda setelah diintegrasikan dengan ternakan lembu.

Ternakan lembu merupakan aktiviti penduduk yang diamalkan sejak dari dahulu lagi. Ia merupakan usaha sampingan kepada petani. Oleh itu, ia tidak menjadi masalah untuk memajukan perusahaan ini.

3. Pada tahun 2010 nanti Jajahan Bachok mampu meningkatkan lagi pengeluaran lembu kacukan pedaging, terutama kemajuan dalam Program Permanian Berhadas, kerana peningkatan Permanian Beradas melebihi 100% dari tahun 1997 jumlah suntikan sebanyak 1010 ekor dan kelahiran 920 ekor berbanding dengan tahun 2004 jumlah suntikan 2,619 ekor dan kadar kelahiran 1,564 ekor. Di samping itu juga kajian-kajian telah dilakukan dari semasa ke semasa untuk meningkatkan lagi pengeluaran lembu kacukan pedaging di Jajahan Bachok.

4. Di bawah Program Pengeluaran Lembu Kacukan Pedaging ia juga melibatkan lain-lain aktiviti yang berkaitan yang merupakan industry hiliran dan sokongan kepada program ini. Industri hiliran akan mewujudkan nilai tambah untuk keluaran ternakan manakala industry sokongan ialah keluaran atau perkhidmatan yang akan berfungsi sebagai input atau pemangkin. Antara industri berkenaan ialah:

i. Pusat memproses kulit/pengeluaran produk daripada kulit

ii. Pusat memproses makanan ternakan

iii. Pasaran ternakan/haiwan

iv. Gerai jualan daging segar

v. Rumah sembelih

5. Bagi menjamin sasaran ‘Target’ dapat dicapai, tindakan awalan yang telah dibuat oleh Pejabat Tanah Dan Jajahan Bachok dan Jabatan Perkhidmatan Haiwan ialah meningkatkan jumlah induk yang terlibat di bawah program ini.

7.0 PENUTUP

1. Program pembangunan yang dirancang oleh Kerajaan sama ada ia dilaksanakan oleh Kerajaan atau swasta akan merubah kegiatan ekonomi tempatan bagi kawasan-kawasan yang dibangunkan. Perubahan-perubahan tanpa kawalan akan memungkinkan penduduk tempatan akan terpinggir dan seterusnya tersisih dari arus pembangunan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menjadikan penduduk tempatan sebagai penerima faedah perlu dibuat secara berterusan.

2. Masyarakat/Penduduk perlu diberi kesedaran dan tanggungjawab di dalam berbagai-bagai aspek iaitu untuk agama, bangsa dan Negara. Kesedaran-kesedaran mengenai tanggungjawab akan mewujudkan masyarakat yang aman dan harmoni seterusnya semua aktiviti dan urusan dapat berjalan dengan sempurna.

 
 
 
  • myGOV
  • Kerajaan Negeri Kelantan
  • Jabatan Perkhidmatan Awam
  • MAMPU
  • MSC Malaysia
  • mySMS 15888
  • mdb
  • jupem
  • Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia
  • Laman Web Rasmi PUSPANITA Cawangan Negeri Kelantan
  • ptjkb
  • ptjm
  • ptjpp
  • ptjtm
  • ptjj
  • ptjkk
  • ptjgm
  • ptjpm
  • ptjt